AM > BERITA

Loke Cadang Hab Kargo Udara Dua Hala Malaysia-Hong Kong Kukuh Dagangan Global

18/11/2024 09:02 PM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkongsi visinya untuk menjalin kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Hong Kong bagi mewujudkan hab kargo udara dua hala.

Berucap pada Persidangan Logistik, Maritim dan Penerbangan Asia (ALMAC) di Hong Kong, beliau menyentuh mengenai kepentingan strategik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) dalam mengukuhkan rangkaian perdagangan antarabangsa.

“Bersama-sama, kita boleh mewujudkan rangkaian kargo udara yang membantu meningkatkan aliran perdagangan, memberi manfaat bukan sahaja kepada ekonomi malah untuk rantaian bekalan global,” katanya sambil menyentuh mengenai peranan penting Malaysia dalam ekosistem logistik serantau dan dunia.

“Peranan Malaysia dalam ASEAN dan infrastruktur pengangkutan yang bertaraf dunia menjadikannya pintu masuk untuk perdagangan antarabangsa,” katanya sambil menambah bahawa pelabuhan, lapangan terbang dan rangkaian kereta api Malaysia direka untuk menyokong keterhubungan yang lancar selain memacu pertumbuhan ekonomi serantau serta global.

Beliau berkata komitmen Malaysia untuk memupuk kerjasama dalam perdagangan memperlihatkan keyakinan Malaysia dan mengulangi kesediaan bekerjasama dengan rakan kongsi serantau serta global bagi mengukuhkan rangkaian logistik, meningkatkan kesalinghubungan dan menggalakkan pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Dalam dunia yang saling berhubung, membina perkongsian yang kukuh ialah kunci untuk memastikan pertumbuhan dan daya tahan yang mampan dalam menghadapi cabaran global,” kata Loke.

ALMAC kali ini bertemakan “Shaping the Future of Supply Chains: Resilience and Sustainbility”,  menghimpunkan pemimpin industri untuk membincangkan arah aliran baharu muncul, termasuk pendigitalan, kemampanan dan daya tahan.

Acara itu menumpukan mengenai kepentingan kerjasama serantau dalam memajukan industri logistik global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan