AM > BERITA

Orang Asli Mohon Henti Aktiviti Sukan Kenderaan Lasak Di Laluan Utama Ketika MTL

18/11/2024 09:41 PM

GUA MUSANG, 18 Nov (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini memohon supaya semua aktiviti sukan lasak melibatkan kenderaan pacuan empat roda tidak menggunakan laluan utama perkampungan mereka ketika Monsun Timur Laut (MTL) ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Balar Hanan Anjang berkata ketika ini laluan ke Pos Balar mengalami banyak kerosakan seperti berlubang dan berlumpur akibat hujan.

Beliau berkata aktiviti sukan kenderaan lasak atau mendaki gunung tidak sesuai diadakan ketika musim hujan kerana faktor keselamatan serta memburukkan lagi keadan jalan perhubungan di kawasan perkampungan Orang Asli.

“Penduduk di beberapa pos seperti Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim serta Pos Simpor dan Pos Gob membantah aktiviti yang merosakkan permukaan tanah dilakukan di kawasan tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Balar di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Ahmadi Jalil Baiyor, 42, berkata jalan utama yang bertanah merah itu akan bertukar menjadi lumpur tebal jika dilalui banyak kenderaan dalam satu masa yang sama. 

“Apabila hujan tanah menjadi lembut dan mudah rosak kerana dilalui dengan tayar kenderaan lasak yang lebih besar daripada tayar kenderaan biasa. Oleh itu, hentikanlah sebarang sukan kenderaan lasak di kawasan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan