AM > BERITA

Malaysia Berhadapan 87,000 Kematian Akibat Kerintangan Antimikrob Menjelang 2030 Jika Tiada Intervensi

19/11/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia bakal menyaksikan unjuran kematian sebanyak 87,000 sekitar 2020 hingga 2030 sekiranya tiada sebarang intervensi dibuat bagi memerangi Kerintangan Antimikrob (AMR), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata angka itu bersamaan dengan 0.26 peratus daripada populasi negara yang dianggarkan berjumlah 33 juta, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kajian yang dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).

“Malaysia bersama-sama beberapa negara seperti Vietnam dan Filipina turut mempunyai data unjuran masing-masing. Sebagai contoh, Vietnam dengan populasi 98.86 juta diunjurkan mencatatkan 296,581 kematian akibat AMR dalam tempoh yang sama.

“Angka-angka ini adalah hasil simulasi unjuran, bukan angka sebenar, namun ia memberi gambaran jelas bahawa tanpa langkah intervensi lebih serius dan menyeluruh, ancaman ini boleh menjadi realiti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta WHO dan pelbagai rakan strategik lain hari ini melancarkan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024.

Dzulkefly berkata selain kehilangan nyawa, kerintangan antimikrob juga membawa kesan besar terhadap ekonomi.

“Rantau Pasifik Barat dijangka menanggung kerugian ekonomi sebanyak AS$148 bilion akibat beban penyakit dan kos ekonomi yang berkait dengan rintangan antimikrob,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan inisiatif yang lebih tuntas bagi memerangi AMR demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Dzulkefly berkata Malaysia telah mengambil langkah proaktif melalui Pelan Tindakan Kerintangan Antmikrob Kebangsaan 2022-2026.

Pelan itu menumpukan kepada meningkatkan kesedaran dan pendidikan, memperkukuh aktiviti pengawasan dan penyelidikan, meningkatkan pencegahan dan kawalan infeksi, serta mempromosikan penggunaan antimikrob secara bertanggungjawab melalui kerjasama pelbagai sektor di bawah pendekatan ‘One Health’.

Bertemakan "Educate. Advocate. Act Now.", sambutan WAAW pada tahun ini menekankan kepentingan pendidikan, advokasi, dan tindakan segera dalam memerangi AMR.

Sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran profesional kesihatan dan masyarakat awam berkaitan ancaman serius AMR.

WHO telah mengisytiharkan AMR sebagai satu daripada 10 ancaman utama kepada kesihatan global.

Ia memberi impak serius terhadap kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar, sekali gus menjejaskan pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Jika tidak ditangani, AMR boleh menyebabkan 5.2 juta kematian tambahan dan bebanan kos kira-kira AS$148 bilion di Rantau Pasifik Barat menjelang 2030.

Antara 2025 dan 2050, bakteria berkerintangan dianggarkan boleh menyebabkan 39 juta kematian, iaitu kira-kira tiga kematian setiap minit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan