KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin memulakan tugas secara rasmi di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan ketibaan Shamsuddin disambut Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Laksamana Muda Badarudin Taha dan Asisten Ketua Staf Pentadbiran Laksamana Pertama Kamaruddin Omar serta barisan pengurusan tertinggi Markas Tentera Laut.
Shamsuddin sebelum ini merupakan Panglima Armada Barat yang dilantik pada 18 Okt 2023 dan beliau juga pernah menggalas tugas Pegawai Kanan Skuadron Penangkis Periuk Api ke-26 semasa memegang jawatan Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Mahamiru dan Pegawai Kanan Skuadron Frigat ke-23 ketika menyandang tugas Pegawai Memerintah KD Jebat.
“Selain itu Shamsuddin pernah memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Laut dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Shamsuddin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kajian Pertahanan dari Universiti Canberra dan Ijazah Sarjana Pengajian Maritim dari Universiti Wollongong, Australia juga diiktiraf Pakar Keselamatan Siber 2021 oleh CyberSecurity Malaysia.
Selain itu, beliau juga merupakan Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan diiktiraf sebagai Profesional Teknologis oleh Lembaga Teknologis Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial