AM > BERITA

Lebih 500 Penguatkuasaan, 2,000 Tangkapan sejak KL Strike Force Ditubuh - Dr Zaliha

19/11/2024 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pasukan KL Strike Force telah menjalankan lebih 500 tindakan penguatkuasaan melibatkan lebih 2,000 tangkapan sejak ditubuhkan pada Mei lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan itu antaranya berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan, pendatang tanpa izin dan persundalan.

Bagaimanapun, katanya pasukan itu tidak boleh lagi bertindak reaktif hanya berdasarkan aduan, sebaliknya perlu lebih proaktif dengan memikirkan langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Dr Zaliha berkata terkait isu persundalan di ibu negara, mungkin Dolly di Surabaya, Indonesia boleh dijadikan sebagai contoh di mana kawasan yang dahulunya dikenali sebagai ‘red-light district’ kini diberi nafas baharu menjadi antara tempat tumpuan pelancongan antaranya menjadikan kawasan itu sebagai kawasan hijau. 

"From red to green (Daripada kawasan merah kepada hijau). Ini kita akan laksanakan di Kuala Lumpur," katanya dalam hantaran X selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan.

Dalam masa sama, Dr Zaliha meminta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti aspek perundangan, khususnya peraturan-peraturan yang lemah dan lapuk agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

Menurut Dr Zaliha, beliau turut mendengar taklimat keselamatan mengenai Labuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Labuan yang memaklumkan keadaan keselamatan di Wilayah Persekutuan itu sedang dipantau dengan baik. 

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa cadangan yang perlu diteliti bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk Labuan secara keseluruhannya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan