AM > BERITA

571 Pelajar UTM Sertai Ikrar Amalkan Internet Selamat Menerusi Surf's Up Tiktok

19/11/2024 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov  (Bernama) -- TikTok, platform untuk video pendek peranti mudah alih komited dalam mewujudkan ruang digital lebih selamat dengan menerapkan nilai-nilai literasi dalam kalangan pelajar universiti di seluruh Malaysia menerusi program Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy (Surf's Up). 

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan setakat semalam sejumlah 571 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melafazkan ikrar #ThinkTwice untuk mengutamakan nilai-nilai tersebut dalam komuniti mereka dan membantu membentuk persekitaran digital yang lebih positif serta terangkum.  

Program dengan kerjasama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan UiTM Shah Alam itu diadakan sempena Festival COMMED oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media univeriti tersebut pada 7 Nov lepas. 

Pengurus Outreach and Partnership TikTok Waskito Jati menegaskan bahawa literasi digital penting ke arah membina komuniti dalam talian yang selamat terutama bagi golongan muda.   

“Kami berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai fungsi, bahaya, kesan dan peluang yang terdapat di Internet selain turut memperkasakan pelajar dengan alat dan kemahiran untuk melayari dunia dalam talian secara selamat dan bertanggungjawab. 

“Cukup memberangsangkan apabila melihat kesungguhan pelajar UiTM ini belajar mengenai bagaimana mereka boleh membentuk landskap Internet yang lebih selamat dan kami berharap dapat terus melaksanakan program Surf's Up ini pada masa depan,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Beliau menambah melalui perbincangan terbuka mengenai keselamatan dalam talian, Surf's Up berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan self-regulation atau pengawalan diri dan menggalakkan pelajar agar mengambil tindakan terhadap kandungan dan penglibatan yang berbahaya, selain melihat semula kehadiran mereka di dunia dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood berkata adalah penting bagi setiap individu termasuk pelajar memahami impak daripada jejak digital mereka.

“Setiap hantaran, komen dan interaksi mencerminkan siapa diri kita dan boleh mempengaruhi peluang kita pada masa depan. Dengan menggalakkan tingkah laku prihatin dan bertanggungjawab ketika dalam talian, kita bukan sahaja melindungi diri tetapi juga menyumbang kepada budaya menghormati dan integriti yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Pensyarah Perhubungan Awam UiTM Dewi Seribayu Nordin Selat turut menekankan mengenai pentingnya pelajar mengenal pasti sumber yang boleh dibaca dan dijadikan rujukan selain mengamalkan pemikiran kritis serta membentuk pendapat yang berdasarkan kajian yang teliti mengenai sesuatu topik.

“Dalam dunia hari ini, literasi digital boleh dianggap sama pentingnya dengan subjek akademik lain kerana ia secara langsung membentuk cara kita berinterkasi dengan dunia.

“Ini merupakan kemahiran penting yang pelajar perlu kuasai seiring dengan akademik ketika mereka membina kehidupan peribadi dan profesional. UiTM berbangga menjadi sebahagian daripada program Surf's Up ini bersama-sama TikTok Malaysia dan CMCF,” katanya. 

Panel penceramah Surf's Up oleh TikTok yang terdiri daripada Calon Pencipta Kandungan Pendidikan bagi Anugerah TikTok Malaysia 2024 yang juga seorang peguam Hafiz Baharudin (@lawyerresponse), Waskito, Mediha, dan Dewi Seribayu, telah membincangkan sumbangan komuniti terhadap pengalaman Internet yang lebih selamat.

Perbincangan juga meliputi tema utama seperti sejauh mana relevan Internet dalam dunia hari ini, ciri-ciri platform TikTok dan garis panduan komuniti serta kepentingan pengawalam diri. 

Sepanjang acara itu, pelajar UiTM turut berpeluang menyertai sesi eksklusif bersama pencipta kandungan pendidikan TikTok Reina Lum dan pengasas bersama Machino Amy Ta yang berkongsi pandangan mengenai bagaimana mereka kekal berhati-hati di dunia dalam talian.

Acara Surf’s Up TikTok berkenaan merupakan siri kedua selepas pertama kali diadakan pada awal Julai lepas di University of Nottingham Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan