AM > BERITA

Margin Rizab Bekalan Elektrik Sabah Hanya Lima Peratus

20/11/2024 04:48 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Sabah hanya mempunyai margin rizab lima peratus untuk bekalan elektrik di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata Sabah mempunyai kapasiti penjanaan bekalan elektrik 1,226 megawatts (MW), dan keperluan bekalan itu pada masa ini pada sekitar 1,166 MW.

“Dengan projek (penjanaan bekalan) sedang dilakukan, margin rizab menjelang Julai 2025 dijangkakan 22 peratus, dengan catuan beban dapat dielakkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Sabah 2025) bagi kementeriannya di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata Sabah Electricity Sdn Bhd telah menambah set penjanaan diesel interim dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 90 MW yang siap sepenuhnya pada Jun lepas.

“Penjanaan interim ini telah dilanjutkan selama dua tahun hingga 2026 bagi membekalkan tenaga elektrik negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Sabah Electricity sedang berusaha untuk menambah set penjanaan terdiri daripada Rental Gas Turbine berkapasiti 100 MW dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) mudah alih berkapasiti 100 MW dijangka beroperasi Julai tahun depan.

Sementara itu, Shahelmey berkata bagi mengatasi isu bekalan air di Pulau Sebatik, Tawau, sebelum ini Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) telah diluluskan di Kampung Sungai Melayu, Begosong Kecil.

“Bagaimanapun, sumber air mentah di kawasan cadangan projek tersebut adalah terhad untuk menampung keperluan permintaan bekalan air ke kawasan sasaran dan sekitarnya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya telah merangka beberapa inisiatif jangka pendek iaitu mendalamkan empangan bagi memastikan sumber air dapat dikumpul untuk menampung keperluan semasa dan pada musim kemarau.

“Projek ini dalam proses perolehan dan dijangka bermula pada suku kedua 2025 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata untuk tindakan jangka panjang Jabatan Air Negeri Sabah akan menyenaraikan cadangan Kajian Kemungkinan Sumber Bekalan Air dari kawasan Wallace Bay untuk dibekalkan ke Pulau Sebatik dalam RMK13.

“Selain itu, kajian ini berserta dengan reka bentuk terperinci akan mengkaji semula sumber lain yang boleh dijadikan alternatif kepada sumber air sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan