AM > BERITA

COP29: Malaysia Harap Ada "Kata Putus" Tentang Pembiayaan Iklim - Nik Nazmi

21/11/2024 11:22 AM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), Nov 21 (Bernama) -- Malaysia berharap agar kata putus tentang Matlamat Kuantitatif Kolektif Baharu (NCQG) yang merupakan elemen utama Perjanjian Paris dapat dicapai dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu penting memandangkan tarikh akhir 2025 semakin hampir untuk memberi satu harapan kepada dunia yang sedang memerhati negara membangun dan mahu satu kemajuan kepada rundingan iklim.

"Setakat sekarang ada perkembangan positif daripada COP29 iaitu Artikel 6 Perjanjian Paris, namun ada isu komitmen kewangan yang masih menjadi pertikaian tentang obligasi negara maju kepada negara membangun.

"Bagi Malaysia, kita berharap dapat mencapai kata putus supaya memberi satu harapan kepada dunia yang sedang memerhati kita dan mahu satu kemajuan kepada rundingan iklim," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di bawah Perjanjian Paris 2015, Perkara 9 menegaskan semula bahawa ‘pihak negara maju hendaklah menyediakan sumber kewangan untuk membantu pihak negara membangun’ dan menyediakan US$100 bilion bagi sumber kewangan menangani bencana iklim sebelum 2025.

-- LAGI

 

COP-PEMBIAYAAN 2 BAKU

 

Perjanjian Paris dimeterai 169 negara dunia ketika COP15 pada 2015, yang sepakat memastikan had pemanasan global di bawah dua darjah Celsius, sebolehnya pada 1.5 darjah Celsius berbanding paras zaman praperindustrian.

Nik Nazmi berkata krisis iklim terus menjadi cabaran global yang semakin serius dengan mencatatkan tahun terpanas sekali gus mencerminkan betapa mendesaknya tindakan kolektif untuk menangani perubahan iklim.

"Bagi Malaysia, walaupun statusnya sebagai negara kecil dan membangun, komitmen terhadap sasaran sifar bersih menjelang 2050 adalah langkah berani untuk melunaskan tanggungjawab negara terhadap isu global ini," katanya.

Beliau berkata keunikan Malaysia dalam perubahan iklim adalah khazanah semula jadi contohnya hutan rimba tertua sebagai penyerap karbon utama dan lokasinya di Coral Triangle yang kaya dengan pelbagai biodiversiti menjadikan sumber itu penting untuk adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.

Nik Nazmi berkata platform multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan COP adalah cara paling berkesan untuk menangani krisis iklim secara global malah memberi impak besar kepada dunia. 

-- LAGI

 

COP-PEMBIAYAAN 3 BAKU

 

Justeru, beliau berkata negara-negara maju perlu lebih serius dengan komitmen masing-masing untuk membantu negara-negara membangun dalam menangani krisis iklim mendesak.

Beliau juga mengkritik negara yang membelanjakan trilion dolar untuk konflik dan perang seperti di Gaza dan Lubnan namun tiada jawapan positif apabila negara membangun memohon dana untuk pembiayaan iklim.

Ini katanya menunjukkan ketidakseimbangan keutamaan dan perkara itu harus diperbetulkan untuk memastikan keadilan iklim.

Nik Nazmi berkata Malaysia sebagai penerima dana antarabangsa antaranya Dana Iklim Hijau (GCF), Kemudahan Persekitaran Global (GEF) dan Dana Penyesuaian yang telah membantu mempercepatkan inisiatif hijau di Malaysia tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

Beliau berkata negara membangun seperti Malaysia masih memerlukan sokongan antarabangsa dalam bentuk pembiayaan, teknologi dan pembangunan kapasiti untuk memastikan sasaran sifar bersih dicapai menjelang 2050.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara maju yang menikmati kekayaan hasil revolusi perindustrian, yang sebahagian besarnya didorong oleh bahan api fosil dan juga mencetuskan pelepasan karbon tinggi.

Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025.

Delegasi Malaysia disertai 200 orang dan diketuai oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad  

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan Shift for Sustainability: Climate Action Now! diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan