AM > BERITA

Belanjawan 2025: Kelantan Peruntuk RM27.5 Juta Bagi Pemeliharaan Alam Sekitar

21/11/2024 05:44 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan RM27.5 juta bagi pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud hari ini.

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan pembangunan Taman Tema Wetland di Tok Bali, Tanah Tinggi Gunung Chamah, hutan simpan dan projek usaha pemindahan fisikal ekologi.

"Kita turut memberi tumpuan khusus kepada pengurusan sumber air bersepadu bagi menangani isu kemarau dan kekurangan air dengan peruntukan RM15.61 juta.

“Peruntukan itu melibatkan pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan empat loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Panggung Lalat, Gua Musang, LRA Merbau Chondong, Pasir Puteh, LRA Pengkalan Nangka, Tumpat dan LRA Serendah, Kota Bharu di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata peruntukan itu melibatkan menaik taraf tali air terutamanya sistem pengairan dan saliran pertanian di Skim Pengairan Belukar, Skim Pengairan Ulu Sat 1 dan Skim Pengairan Hilir Sat 2, Machang.

"Peruntukan ini juga melibatkan projek pembinaan LRA Kompak bagi Sistem Proses Air Telaga Tiub di Kampung Laut, Tumpat dan Projek Bekalan Air Komuniti.

"Bagi menangani isu banjir kita juga memperuntukkan RM8.35 juta juta untuk projek pengurusan bencana dan infrastruktur berkaitan," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM17.75 juta untuk program Kelantanku Bersih, program kesihatan awam dan program pembangunan luar bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan