AM > BERITA

1,354 Kes Remaja Hamil Luar Nikah Dilaporkan Di Selangor - Exco

21/11/2024 06:01 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,354 kes remaja hamil luar nikah dilaporkan di negeri ini dari 2023 hingga September tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata ini berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan 799 daripada kes itu dilaporkan pada tahun lepas. 

"Bagi tahun ini, Selangor mencatatkan 555 kes remaja hamil luar nikah setakat September dengan kategori umur 10 hingga 14 tahun sebanyak 13 kes, 15 hingga 17 tahun (157 kes) dan 18 hingga 19 tahun 385 kes," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di sini. 

Beliau berkata bagi menangani permasalahan itu, pihaknya telah memulakan rangka kerja awal bagi menganjurkan sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Menangani Isu Remaja Hamil Luar Nikah yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan. 

"Ini akan dilaksanakan menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah bagi merangka penyelesaian yang komprehensif," katanya. 

Anfaal berkata permasalahan berkenaan dipandang serius pihaknya yang turut melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak- kanak dengan kerjasama JKM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Beliau berkata program itu bertujuan mendidik kanak-kanak aspek keselamatan serta perlindungan daripada gangguan seksual melibatkan 12 siri meliputi 11 program di sekolah di semua daerah dan satu di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Program Perumahan Rakyat HICOM. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan