AM > BERITA

Stesen Janakuasa Hidro Empangan Tenom Pangi Beroperasi Sepenuhnya Hujung Tahun

21/11/2024 06:09 PM

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

LAHAD DATU, 21 Nov (BERNAMA) -- Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) bakal beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini dan dijangka mampu menjana 66 megawatt (MW) elektrik, kata Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

Beliau berkata stesen jana kuasa itu memiliki tiga turbin dan dua daripadanya telah beroperasi dan satu dijangka beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.

“Apabila jana kuasa ini beroperasi maka dijangka pertengahan tahun hadapan antara Jun atau Julai kita dapat meningkatkan peratus rizab margin bekalan elektrik sehingga 25 peratus,” katanya kepada Bernama selepas membuat lawatan kerja di pejabat Sabah Electricity di sini hari ini.

Ditanya mengenai rizab margin elektrik negeri yang kini berada pada paras lima peratus, Madius berkata rizab berkenaan sememangnya sangat rendah. 

"Rizab margin itu walaupun mencecah 10 peratus ia memang rendah jadi sekiranya berlaku kerosakan pada satu penjana enjin (genset) maka automatik elektrik terputus sebab itulah kita melakukan catuan elektrik. 

“Antara usaha Sabah Electricity untuk meningkatkan rizab margin adalah dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang akan diletakkan di sini (Lahad Datu) dengan kapasiti 100MW dan satu lagi gas di Kimanis juga berkapasiti 100MW,” katanya.

Mengulas isu bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah, beliau berkata penjanaan elektrik di Pantai Timur menghampiri 300MW dan elektrik yang digunakan di situ dihantar daripada Pantai Barat Sabah melalui talian penghantaran berkapasiti 275 kilowatt per jam (kWh).

Beliau berkata sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti terputus atau 'trip' maka semua kawasan di pantai timur Sabah menghadapi masalah bekalan elektrik.

"Kini kita mahu sampaikan kepada masyarakat dan pemimpin setempat bahawa kita memerlukan satu lagi talian penghantaran elektrik, yang (ada) sekarang talian penghantaran dari Kimanis ke Sandakan. 

“Kita  memerlukan satu lagi talian penghantaran dari Sipitang ke Tawau atau dipanggil 'Southern Line' lebih kurang 300 kilometer,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan