AM > BERITA

25 Tokoh Wanita Dipilih Menerusi Inisiatif Perantis 2024 KPWKM - Nancy

22/11/2024 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak 25 tokoh wanita yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang telah dipilih untuk menerima geran peruntukan menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia bagi membolehkan tokoh wanita terlibat menjalankan program pembangunan kepimpinan dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata kesemua tokoh yang terpilih itu akan diberikan sijil dan geran peruntukan pada 27 Nov ini.

“Kita nak cari pemimpin wanita dan terdapat begitu ramai yang menunjukkan minat, kita nampak memang baik. Ia tidak dinilai oleh kami, penilai adalah daripada luar. 

“Bagi mereka yang telah membuat permohonan, kita akan cuba menghubungi mereka lagi tahun depan insya-Allah. Kami mahu bermula awal tahun depan kerana yang ini kita baru mula dua, tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Majlis Sepetang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pengamal media wanita Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Hadir sama Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali, Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus yang juga Timbalan Presiden PERTAMA dan Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama Nor Hasliza Abdullah selaku setiausaha persatuan bersama kira-kira 100 pengamal media wanita.

Nancy berkata program PERANTIS yang diperkenalkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan antara lain bagi melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan wanita terutama di peringkat pembuat keputusan untuk memimpin masyarakat ke arah negara maju dan berdaya saing.

Program berkenaan juga memberi keutamaan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan wanita dalam bidang ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan lain-lain bidang profesional yang bersesuaian.

Terdahulu, Nancy turut menyerahkan plak antigangguan seksual kepada Nur-ul Afida serta 19 pengamal media wanita lain sebagai simbolik untuk media memainkan peranan menyebarluaskan inisiatif antigangguan seksual.

Sementara itu, dalam usaha memerangi gangguan seksual dalam kalangan pengamal media wanita, Sariha yang juga Pengarang Berita di Berita Harian berkata perkara sedemikian harus dilaporkan serta-merta dan diambil tindakan sewajarnya.

“Kita bertugas di luar dan  berhadapan dengan banyak pihak, memang tidak dinafikan ada juga ahli-ahli media yang menghadapi gangguan seksual.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku sebab kita sebagai barisan hadapan, kita tahu benda ini adalah satu kesalahan yang tak perlu dilakukan, jadi kita sama-sama beringat tindakan sedemikian boleh didakwa dan kita sebagai golongan media akan sebarkan maklumat seperti ini untuk pengetahuan orang ramai,” katanya.

PERTAMA ditubuhkan pada 1971 oleh Allahyarhamah Azah Aziz atau nama sebenar Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff dan merupakan persatuan media tertua melibatkan petugas media wanita di negara ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan