KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pengorbanan Datuk Mohd Azizulhasni Awang menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) sebaliknya memilih untuk sambung belajar di sekolah sukan ternyata tidak sia-sia apabila beliau kini dikenali sebagai jaguh dunia dalam sukan berbasikal trek.
Biarpun keputusan yang diambil ketika beliau berusia 15 tahun itu amat berat, minat mendalam terhadap sukan berkenaan membuatkan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu nekad demi mengejar impiannya bergelar jaguh di pentas antarabangsa.
Mohd Azizulhasni, 36, atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berkata beliau tidak menyangka keputusan besar dibuatnya ketika itu dengan meneruskan persekolahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil ternyata memberi impak yang sangat luar biasa buat diri dan kariernya.
“Saya ingat lagi masa tunggu surat SBP dalam masa yang sama saya sangat menanti-nantikan surat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk ke sekolah sukan. Bila surat SBP sampai, ibu suruh saya pergi tetapi saya kata dengan ibu tunggu surat lagi satu lagi.
“Akhirnya surat daripada MSN sampai dan saya pilih untuk masuk ke sana tetapi ibu pula marah sebab cita-cita saya nak jadi doktor. Pada pandangan ibu saya ketika itu sukan tidak menjamin masa depan,” katanya.
Mohd Azizulhasni berkongsi liku-liku kehidupannya sebelum menjadi pelumba berbasikal trek negara semasa Program ‘Sports Icons Tour’ yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu berkata rentetan tersebut beliau berjanji kepada ibunya akan memastikan pelajaran tetap menjadi keutamaan meskipun perlu sentiasa menjalani latihan.
Dalam sesi perkongsian itu, Mohd Azizulhasni yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Senaman Klinikal di Victoria University, Melbourne, Australia, turut menzahirkan hasrat agar suatu hari nanti Malaysia dapat menubuhkan akademi kejurulatihan dan menerajui akademi itu dalam memastikan atlet negara dalam pelbagai sukan yang bakal dilahirkan mencapai status dunia.
“Buat masa sekarang saya nak fokus karier saya dahulu, siapa tahu pada masa depan dengan sokongan KBS dan MSN mungkin kita boleh tubuhkan Akademi Kejurulatihan…saya boleh melatih jurulatih sukan.
“Sebagai contoh apa dilakukan China sebelum ini mereka mengambil jurulatih terbaik dan bawa ke China untuk beberapa tahun. Kemudian mereka serap semua maklumat, ilmu dan kemahiran jurulatih tersebut kepada jurulatih tempatan dan dihantar ke seluruh pelosok daerah, negeri termasuk kelab untuk latih atlet,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KBS Richard Barahim berkata reruai KBS pada program 2TM mengetengahkan konsep e-sukan sebagai tarikan pada kali ini.
“Reruai kita lebih bertenaga pada kali ini berbanding sebelum ini…kejayaan dan pencapaian KBS di bawah Kerajaan MADANI juga kita paparkan melalui tayangan video agar lebih menarik dan interaktif.
“Selain itu, kita juga adakan khidmat nasihat Dana Sukan KBS untuk komuniti, geran padanan untuk buat program sukan peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Richard berkata KBS juga mengadakan program penggunaan fasilitinya secara percuma di Jabatan Belia dan Sukan di seluruh negeri bermula hari ini hingga Ahad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial