KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Masyarakat pelbagai linguistik mampu menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata masyarakat itu bukan sahaja tahu untuk berkomunikasi, tetapi juga menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa yang ada di sekeliling mereka.
“Bahasa Melayu kini menjadi bahasa kebangsaan Malaysia dan ia merupakan simbol perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya.
“Namun, kita juga tidak boleh melupakan pentingnya bahasa-bahasa lain yang menjadi bahagian integral daripada kehidupan masyarakat kita seperti bahasa Cina, Tamil, Iban dan lain-lain, yang mewakili kepelbagaian etnik yang wujud di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Interaksi Pelbagai Etnik Kolej Universiti New Era (NEUC-CMEI) dan penutupan Simposium Evolusi Bahasa: Dahulu, Kini dan Masa Hadapan, dekat sini hari ini.
Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Dasar Perpaduan Negara (DPN) telah mengangkat bahasa sebagai elemen utama dalam membentuk identiti nasional, merapatkan hubungan antara kaum dan memperkukuh semangat kenegaraan.
Mengenai NEUC-CMEI, Aaron berkata penubuhan pusat itu ialah satu langkah amat signifikan dan tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional yang menjadi platform strategik untuk merapatkan jurang perbezaan budaya dan memupuk keharmonian rakyat berbilang kaum.
NEUC-CMEI berfungsi sebagai ruang fizikal dan simbolik dengan individu daripada latar belakang berbeza boleh berkumpul, belajar daripada satu sama lain dan membentuk ikatan berkekalan, di samping mempromosikan kesedaran silang budaya, menonjolkan keindahan setiap tradisi serta mencari titik persamaan yang menyatukan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial