AM > BERITA

Kestabilan Politik, Dasar Jelas Dan Komitmen Perkhidmatan Awam Faktor Kejayaan Kerajaan MADANI - PM Anwar

23/11/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kejayaan Kerajaan MADANI memimpin negara sepanjang dua tahun ini adalah hasil kestabilan politik, dasar yang jelas serta komitmen perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rakyat negara ini telah menunjukkan kesediaan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam melonjakkan Malaysia ke persada dunia.

“Satu kenyataan yang harus diingat (kejayaan) dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil. Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara.

“… banyak anjakan dilakukan dan keberkesanan pelaksanaan dasar ini adalah kerana komitmen dan iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka lakukan reform dan perubahan. Pelaksanaan (program) jauh lebih cekap sekarang,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa sesi Townhall Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut memuji komitmen sektor swasta yang memainkan peranan penting dalam membantu memajukan negara ini.

“Swasta memainkan peranan dalam negara yang sangat kritikal dalam menjayakan (agenda negara).

“Kemahiran dan kepakaran adalah bidang mereka, kita (kerajaan) hanya menjadi penjana dan pemangkin untuk mempercepat proses,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada badan penguat kuasa negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam memastikan negara sentiasa aman dan selamat.

“Penghargaan kepada jentera keselamatan negara seperti tentera, polis dan semua penguat kuasa, kerana ini adalah satu asas yang memungkinkan kita maju dalam pelbagai bidang,” katanya.

Kerajaan MADANI menurut Perdana Menteri perlu diberikan ruang untuk mengangkat martabat Malaysia supaya ia dikenali sebagai sebuah negara yang gagah dan hebat di seantero dunia.

Beliau melahirkan keyakinan dengan kepimpinan sedia ada, kemampuan penjawat awam dan badan penguatkuasaan bagi membolehkan negara mencapai hasrat itu, dan membersihkan amalan rasuah yang disifatkan sistemik sebelum ini.

Anwar berkata Kerajaan MADANI tidak mengizinkan penyelewengan dan salah guna kuasa sewaktu mengemudi pemerintahan negara ini.

“Sebab itu pemahaman itu perlu, dengar, teliti, jangan permainkan isu-isu yang mungkin merosakkan, sebab itu saya puji tindakan badan penguat kuasa seperti PDRM, SPRM dan LHDN, tak boleh amalan (yang merugikan negara), membolot kekayaan negara.

“…kalau ada kelemahan kita terima dan cuba baiki kelemahan kita,” katanya.

Perdana Menteri mahukan sebarang perbezaan dirundingi di semua peringkat kerana tidak ada negara boleh mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi sekiranya ia mengalami ketidakstabilan politik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan