KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mampukah anda mengayuh basikal sejauh satu kilometer dalam tempoh dua minit?
Itu cabaran yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, yang akan berakhir hari ini.
Pembantu awam Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Noor JahrulMustafa berkata aktviti itu yang menggunakan smart trainer bike bertujuan menguji kekuatan kaki dan tahap kecergasan pengunjung, menerusi jarak kayuhan mereka.
"Terdapat lapan nisbah gear dan pengunjung akan bermula dari tiada gear sebelum dinaikkan setiap 15 saat untuk menguji kekuatan kaki, manakala jarak kayuhan membantu kita menilai tahap kecergasan berdasarkan usia.
"Jarak kayuhan yang dianggap normal bagi lelaki untuk dua minit ialah 600 meter ke atas manakala bagi wanita ialah 400 ke 500 meter manakala untuk bacaan gear ialah lapan untuk lelaki dan lima wanita," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohd Noor Jahrul berkata walaupun ramai dapat mencapai jarak kayuhan normal, namun jumlah mereka yang dapat menghabiskan satu kilometer adalah kecil.
Selain mengayuh basikal, pengisian lain di reruai KKM bagi mempromosikan cara hidup sihat ialah VR Boxing dan Just Dance Simulator selain pengunjung juga boleh membuat analisis komposisi badan.
Pekerja swasta Shamron Arputha Raj, 30, yang menyahut cabaran itu berpuas hati dengan pencapaiannya yang dapat menghabiskan gear lapan dengan jarak 700 meter dalam tempoh dua minit.
"Ia bacaan yang baik, namun dalam masa sama juga peringatan untuk terus menjaga kesihatan dan mengamalkan cara hidup lebih baik, walaupun sibuk dengan kerja," katanya yang datang ke Program 2TM bersama keluarganya dari Sentul di sini.
Seorang lagi pengunjung Jacky Cheong, 50, mengakui cabaran itu 'tidak semudah yang dilihat' selepas merekodkan jarak 500 meter, walaupun dia sering mengayuh basikal secara santai sebagai aktiviti riadah.
Dia berkata cabaran seperti itu sebagai 'teguran' untuk terus mengamalkan cara hidup sihat, bagi mengelakkan risiko penyakit serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial