AM > BERITA

Tiga ADUN Perlis Dilantik Sebagai Exco, Dua Exco Sedia Ada Digugurkan

25/11/2024 03:52 PM

ARAU, 25 Nov (Bernama) -- Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa hari ini manakala dua EXCO sedia ada digugurkan.

ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah, ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dan ADUN Sena Datin Marzita Mansor masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau hari ini.

Turut berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Dua EXCO sedia ada yang digugurkan ialah ADUN Pauh Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak.

Abu Bakar dilantik memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar manakala Mohd Ridzuan bertanggungjawab untuk portfolio Belia dan Sukan dan Sains, Teknologi dan Inovasi dan Marzita pula diberi tanggungjawab menggalas portfolio Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan.

Sementara itu, lima EXCO sedia ada yang dilantik semula turut mengangkat sumpah jawatan EXCO di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin hari ini selepas setahun memegang jawatan itu namun terdapat perubahan bagi portfolio masing-masing.

Mereka ialah ADUN Santan Muhammad Azmir Azizan, Asrul Aimran Abd Jalil (ADUN Kayang), Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi), Razali Saad (ADUN Simpang Empat) dan Wan Badariah Wan Saad (ADUN Mata Ayer).

Muhammad Azmir bertanggungjawab dalam portfolio Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia; Asrul Aimran (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital) dan Izizam menggalas portfolio Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan.

Razali pula diberikan tanggungjawab untuk portfolio Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan manakala Wan Badariah memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Perpaduan dan Alam Sekitar.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas istiadat itu, Mohd Shukri berkata pelantikan berkenaan berkuat kuasa sehingga akhir penggal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan