KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan pelaksanaan Kajian Pembangunan Industri Muzik Malaysia (KPIMM) dan penubuhan Jawatankuasa Pro Tem Industri Muzik (JK-PTIM).
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua inisiatif itu penting dalam menyokong perkembangan industri muzik sebagai subsektor baharu yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut kementerian itu KPIMM berperanan mengkaji isu, cabaran dan pembangunan ekosistem dengan lebih komprehensif serta cadangan pelan tindakan yang bersesuaian dalam memperkasakan industri muzik.
Ia merangkumi analisis rantaian nilai, kerangka tadbir urus dan kawal selia, penetapan dasar dan akta, serta penandaarasan kaedah dan amalan tadbir urus terbaik di peringkat serantau mahupun global.
"KPIMM turut disokong oleh 20 anggota JK-PTIM berpengalaman yang dilantik secara sukarela, berperanan sebagai perantara pemain industri dengan pasukan kajian.
"JK-PTIM juga bertanggungjawab memberikan input yang bersesuaian dengan skop kajian serta mengemukakan cadangan penyelesaian dan penambahbaikan untuk membangunkan industri muzik di Malaysia," menurut kenyataan itu.
Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 bersetuju dengan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM), tertakluk kepada satu kajian terperinci mengenai model perniagaan, tadbir urus, perjawatan dan undang-undang khusus yang akan dilaksanakan oleh konsultan berkecuali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial