IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata sebagai contoh IPR Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN), membantu golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka, selain membasmi kemiskinan dan keterjaminan makanan.
“Cuma kita perlu buat perkara ini secara berfasa dan berkala, kerana denominator dia adalah tanah. Lebih banyak kerajaan negeri memberikan tanah, lebih cepat kami kembangkan (IPR-INTAN) dan buat masa sekarang, saya lihat ada penerimaan yang baik oleh rakyat dan masyarakat dah mula faham.
“Kerajaan negeri pun lebih ramai yang tampil untuk menawarkan tanah dan Kementerian Ekonomi akan pastikan peruntukan yang sewajarnya itu akan diberikan apabila tanah-tanah ini diberikan kepada Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata IPR Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) juga akan diteruskan, namun inisiatif itu tidak begitu bergantung kepada kerajaan negeri tetapi Kementerian Ekonomi.
“Kami kena cari tempat sebanyak mungkin yang bersetuju untuk menempatkan mesin-mesin (mesin layan diri atau vending machine) ini. Bottleneck dia berapa banyak tempat yang bersetuju untuk kami tempatkan.
“Proses itu sebenarnya agak tedious, jadi kalau kami berjaya dapat lebih banyak, kita akan dapat skalakan dengan lebih banyak. Itu sebabnya kenapa vending machine, kesukarannya tempat-tempat yang berpotensi ini tak semestinya nak benarkan orang letak di situ,” kata Rafizi.
IPR yang merangkumi tiga model iaitu INSAN, INTAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dilancarkan pada 26 Feb 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.
Sementara itu, Rafizi berkata banyak penambahbaikan bagi rangka kerja dalam Agenda Negara Menua telah dikenal pasti, antaranya dari segi undang-undang untuk mewujudkan industri penjagaan ataupun care economy.
“Untuk jangka masa yang lebih panjang contohnya, bukan semata-mata untuk mewujudkan industri care economy yang mampan untuk negara, kita juga perlu ambil kira tentang apakah bentuk perlindungan sosial yang diperlukan apabila negara kita menjadi negara tua,” katanya.
Rafizi berkata banyak perkara perlu diteliti melibatkan sektor kerja, insurans, pencen dan lain-lain serta perkara itu akan dibincang lebih mendalam pada RMK13.
“Proses untuk membina keseluruhan jaringan keselamatan sosial ini bukan sesuatu yang boleh berlaku serta-merta, ia berlaku di bawah kawal selia banyak kementerian.
“Tetapi RMK13 akan menjadi RMK pertama yang ada satu fokus khusus mengenai Agenda Negara Menua,” katanya.
Pada 27 Ogos, Rafizi dilaporkan berkata Kementerian Ekonomi bercadang membentangkan Kertas Putih Agenda Negara Menua di Parlimen pada tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial