AM > BERITA

MBPP Ambil Tindakan Segera Bersihkan Sampah Sarap Di Persisir Pantai Permatang Tepi Laut

25/11/2024 08:44 PM

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera dengan membersihkan sampah-sarap yang berlonggok di pesisir Pantai Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas di sini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MBPP Mohd Zamzuri Hussain memaklumkan pihak kontraktor dihantar untuk memungut longgokkan sampah tersebut hari ini

“Sampah-sarap di pesisir pantai kebanyakannya disebabkan sampah hanyut yang mengikut pasang surut air laut.

“Jumlah sampah akan bertambah sekiranya tiba musim hujan tetapi yang menyebabkan sampah banyak di pesisir pantai termasuk Pantai Permatang Tepi Laut apabila air pasang berlaku,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerja pembersihan pesisir pantai dibuat setiap hari bermula 7 pagi hingga 6 petang dan sebanyak lima kontraktor telah dilantik MBPP bagi menguruskan perkhidmatan pembersihan mengikut jajaran pantai yang telah ditetapkan. 

Mohd Zamzuri berkata kegagalan pihak kontraktor melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan boleh menyebabkan mereka diambil tindakan.

Beliau berkata pemantauan turut dibuat oleh penyelia yang ditugaskan di setiap jajaran pantai dan lokasi pesisir pantai yang menjadi tumpuan awam. 

“Sampah yang dikutip akan diangkut pada hari sama selepas kerja pembersihan dibuat,” katanya yang turut menyeru orang awam supaya tidak membuang sampah merata-rata kerana boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu 986 tan sampah dibersihkan di kawasan pesisir pantai dan laut di bahagian pulau negeri itu sepanjang tahun lepas manakala 629 tan sampah direkodkan tahun ini setakat Ogos lepas.

Terdahulu, Bernama yang melakukan tinjauan di Pantai Permatang Tepi Laut mendapati kawasan pesisir pantai tersebut dipenuhi dengan longgokan sampah-sarap yang kebanyakannya sisa plastik dan botol.

Situasi itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan dan mencemarkan imej pantai tersebut yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai tetapi juga menjejaskan ekosistem serta menyebabkan pencemaran di laut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan