AM > BERITA

Banjir: 13 Kawasan Berbukit Dikenal Pasti Lokasi Perpindahan Penduduk Gua Musang

26/11/2024 11:00 PM

GUA MUSANG, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 13 kawasan berbukit di sekitar Gua Musang dikenal pasti sebagai tempat perpindahan penduduk yang dilanda bencana banjir ketika Monsun Timut Laut (MTL) jika pusat pemindahan sementara (PPS) ditenggelami air. 

Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Nik Raisnan Daud berkata ia merupakan usaha agensi kerajaan dan keselamatan di jajahan Gua Musang dalam melakukan kesiapsiagaan sekiranya berlaku banjir besar kali ini. 

Beliau berkata pelbagai kelengkapan dan keperluan untuk mangsa banjir telah disediakan di lokasi perpindahan terbabit. 

“Antara lokasi yang sudah dikenal pasti ialah di Kampung Batu Papan, Lebir, Kampung Limau Kasturi dan Aring. Kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lepas adalah di luar jangka dan kita tidak membuat persiapan awal.

“Selain bahan makanan, PKOB turut menyediakan peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah untuk kegunaan mangsa yang terpaksa berpindah ke atas bukit,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, hari ini.

Nik Raisnan berkata hebahan mengenai 13 lokasi ini telah dibuat kepada penduduk setempat setiap minggu ketika solat Jumaat. 

“Para penggawa dan penghulu kampung juga banyak menguar-uarkan kepada penduduk tentang langkah awal yang perlu diambil apabila berhadapan banjir,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata lima buah bot daripada pelbagai agensi dan 25 bot persendirian didaftar sebagai kemudahan aset untuk membantu mangsa banjir musim ini. 

"Kesiapsiagaan kita untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka menyebabkan banjir besar telah bermula awal. Malah pada bulan lepas kami telah menganjurkan program simulasi banjir yang membabitkan semua agensi antaranya polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan