AM > BERITA

Elaun Harian Diberikan Kepada Ahli, Isteri Dan Anak GISBH Ikuti Program Pemulihan Sukarela

27/11/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bagi menarik ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menyertai program pemulihan secara sukarela, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis serta jabatan agama Islam (MAIN/JAIN) memberi elaun harian kepada ahli, isteri dan anak-anak mereka yang menghadiri program pemulihan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata latihan kemahiran turut diberikan kepada mereka yang mengikuti program sukarela ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Seperti kita maklum, kita mempunyai modul komprensif merangkumi aspek pendidikan, kewangan, latihan kemahiran, namun persoalannya mengapa bilangan tampil masih rendah dan kita juga maklum bahawa program ini bersifat sukarela.

“Namun bagi anak-anak yang masih berada di rumah perlindungan, kita teruskan program persekolahan, sekali gus memastikan mereka dapat mengikuti ajaran Islam sebenar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui usaha dilakukan untuk menarik lebih ramai ahli GISBH menghadiri program pemulihan secara sukarela memandangkan terdapat fatwa tentang penyelewengan ajaran GISBH.

Beliau berkata ahli GISBH yang mengikuti program pemulihan sukarela ini adalah mereka yang tidak mempunyai kesalahan jenayah, manakala ahli GISBH yang telah ditahan perlu menjalani program pemulihan secara khusus oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia, dengan kerjasama JAKIM.

Zulkifli berkata bagi memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerajaan telah melancarkan program rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada seluruh ahli GISBH.

“Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan JAKIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIN dan MKN negeri telah memulakan projek rintis pada 7 Nov di rumah pemulihan MAIS dengan mengguna pakai modul Istitabah MAIS.

“Penilaian akan dilaksanakan setiap 30 hari selepas sesi pemulihan dilaksanakan. Berasaskan projek rintis ini, JAKIM dengan kerjasama MKN dan pelbagai agensi akan menjalankan program pemulihan dengan modul yang komprehensif.

“Ia meliputi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan dan juga latihan kemahiran untuk persediaan kelangsungan hidup selepas kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan