AM > BERITA

Petugas BBP Jertih, Besut Sedang Bercuti Diarah Kembali Bertugas

27/11/2024 05:30 PM

JERTIH, 27 Nov (Bernama) -- Pegawai serta anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih dan Besut yang sedang bercuti telah menerima arahan agar kembali bertugas susulan keadaan banjir yang semakin memburuk di daerah Besut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata kesemua mereka sebelum ini terdiri daripada 20 peratus anggota yang dibenarkan bercuti akhir tahun dan telah diarahkan untuk bertugas mengikut syif 24 jam bermula hari ini. 

“Kesemua anggota yang dipanggil akan membantu operasi pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui media sewaktu meninjau situasi banjir di Kampung Padang Landak di sini hari ini. 

Beliau berkata anggota yang terputus laluan untuk ke balai masing-masing akan diambil menggunakan ikhtiar logistik yang bersesuaian termasuk lori atau bot untuk membolehkan mereka kembali bertugas.

Muhammad Basri berkata selain penglibatan 17 BBP di negeri itu untuk operasi penyelamatan mangsa banjir, pihaknya juga turut menggerakan dua Pasukan Gerak Pantas Monsun Timur Laut (Red Team MTL) dari BBP Jalan Kota dan Kemaman untuk ke kawasan terjejas.

“Pasukan Red Team MTL telah dihantar antaranya ke Besut susulan peningkatan mangsa yang signifikan ketika ini,” katanya.

Menurut data oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), Besut daerah terburuk terjejas banjir ketika ini dengan 1,102 mangsa daripada 304 keluarga ditempatkan di 20 PPS.

Setakat pukul 4 petang tadi, Terengganu mencatatkan keseluruhan 1,851 mangsa daripada 515 keluarga di lima daerah terjejas termasuk Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan