KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meminta Facebook menurunkan 249,268 kandungan sepanjang tahun ini dengan 91.6 peratus daripadanya adalah berkaitan judi dalam talian serta penipuan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebanyak 172,072 kandungan yang diturunkan melibatkan judi dalam talian manakala 56,136 adalah berkaitan penipuan.
"MCMC tidak boleh mengarahkan (platform media sosial untuk menurunkan kandungan) kerana kita tidak ada kuasa itu dan hanya boleh meminta untuk (kandungan tersebut) diturunkan, terpulang kepada platform untuk menurunkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata berdasarkan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial tahun lepas, sebanyak RM432 juta wang rakyat Malaysia hilang akibat penipuan di Facebook.
Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, Facebook telah meraih RM2.5 bilion keuntungan daripada Malaysia hasil jualan iklan termasuk berkaitan penipuan pelaburan dalam talian.
Menjawab celahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang mendakwa kerajaan bertindak menurunkan kandungan berunsur kritikan, Fahmi berkata sesiapa sahaja boleh membuat aduan kepada MCMC dan suruhanjaya itu hanya memanjangkannya kepada platform media sosial terbabit.
"Kalau sekiranya sesuatu kandungan itu diturunkan maka platform itu mengaku bahawa kandungan berkenaan melanggar standard komuniti platform tersebut.
"... contoh dalam kes yang dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri mengenai fitnah yang mengatakan bahawa 1.2 juta rakyat China telah mendapat kewarganegaraan, Menteri Dalam Negeri berkata bahawa ini fitnah," katanya.
Fahmi juga berkata MCMC memaklumkan kemudahan chatbot dalam aplikasi WhatsApp bagi mengekang penularan berita palsu akan dilancarkan pada Januari depan.
"Ini membantu semua pengguna yang memanfaatkan aplikasi WhatsApp menghantar mesej yang mereka syak adalah bersifat palsu ataupun mempunyai elemen meragukan untuk pengesahan melalui penggunaan kecerdasan buatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial