KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Orang ramai dijemput untuk menghadiri Karnival Komunikasi 2024 yang akan berlangsung di IWK Eco Park @ Pantai Dalam pada Jumaat dan Sabtu ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata penganjuran karnival itu bertujuan meningkatkan literasi komunikasi dalam kalangan masyarakat dan menambah kefahaman mereka tentang inisiatif kementerian.
“Kami mahu masyarakat memahami lebih mendalam mengenai Internet, jalur lebar, dan cara penyampaian maklumat secara dalam talian dengan mudah. Selain itu, kami juga ingin meningkatkan kesedaran dan memperkasakan rakyat untuk mengelakkan penyalahgunaan Internet dan menjadi mangsa penipuan (scam),” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Beliau berkata pelbagai maklumat pendidikan komuniti akan disampaikan sepanjang karnival ini, termasuk penerangan mengenai talian kecemasan 999 dan bagaimana talian tersebut sering disalahgunakan, serta taklimat mengenai isu scam oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Mano berkata selain jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi, karnival tersebut turut disertai oleh agensi-agensi dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, serta syarikat telekomunikasi seperti U Mobile, CelcomDigi, Maxis, dan YTL (YES).
Katanya, antara pengisian menarik ialah Jualan Rahmah, pencetakan setem menggunakan gambar sendiri oleh Pos Malaysia, pakej daripada syarikat telco, penukaran naskhah al-Quran dan kaunter pembayaran saman.
Selain itu, beliau berkata sebagai penutup program pada Sabtu, konsert RIUH x Karnival Komunikasi 2024 menampilkan artis tempatan Bunkface, Naim Daniel, Iman Troye dan MUAH! band.
Maklumat lanjut mengenai karnival, boleh didapati menerusi laman web karnival.komunikasi.gov.my serta media sosial rasmi Karnival Komunikasi (Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial