AM > BERITA

Malaysia, IACA Teroka Kerjasama Strategik - SPRM

28/11/2024 01:51 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) meneroka kerjasama strategik, termasuk rancangan menganjurkan Akademi Musim Panas Serantau IACA di Kuala Lumpur pada 2025, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dibincangkan antara delegasi Malaysia bersama Dekan IACA, Prof Slagjana Taseva semasa Mesyuarat Kedua peringkat Menteri Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Pencegahan Rasuah dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 26 dan 27 Nov di Doha, Qatar.

Delegasi Malaysia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, dan beliau diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengetuai delegasi dalam Mesyuarat peringkat Pegawai Kanan pada 26 Nov.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata mesyuarat itu mencerminkan peranan penting dan kepercayaan kepada Malaysia, yang terbukti menerusi pelantikan Azalina sebagai Presiden Perhimpunan Parti (AoP) IACA dan pelantikan semula Azam sebagai Ahli Lembaga Gabenor (BoG) IACA bagi penggal 2024-2027 baru-baru ini.

“Penyertaan dan komitmen Malaysia terhadap usaha memerangi rasuah membuktikan keazaman negara untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota OIC bagi mengukuhkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu di sini.

Mesyuarat yang dianjurkan bersama OIC dan Pihak Berkuasa Kawalan Pentadbiran dan Ketelusan Qatar (ACTA) berkenaan bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC bagi membanteras rasuah.

Dalam mesyuarat itu Azalina mengulangi komitmen Malaysia untuk memerangi rasuah, yang dibuktikan melalui pelancaran Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028.

Azalina turut berkongsi kemajuan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang menyaksikan kedudukan negara bertambah baik, meningkat kepada tempat ke-57 daripada 180 negara tahun lepas.

Selain itu SPRM memberitahu Malaysia mengumumkan langkah-langkah untuk meningkatkan ketelusan dan tadbir urus, termasuk pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, serta cadangan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) untuk menangani kes rasuah korporat.

Malaysia juga antara negara pertama yang menandatangani Konvensyen Makkah Al-Mukarramah, satu perjanjian kerjasama antirasuah yang memudahkan pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran dan pembinaan kapasiti dalam kalangan negara-negara anggota OIC.

Perjanjian berkenaan selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan