AM > BERITA

KKM Kaji Sistem DRG Kebangsaan Tangani Kenaikan Kos Perubatan - Lukanisman

28/11/2024 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji pembangunan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kebangsaan dalam perawatan hospital seluruh negara sebagai usaha menangani kenaikan kos perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata DRG iaitu klasifikasi pesakit berdasarkan diagnosis, jenis perawatan dan sumber yang digunakan dalam satu episod rawatan adalah penting untuk penyediaan pembiayaan sektor kesihatan dengan mengira kos rawatan, pengurusan serta tarif kesihatan.

"Kita sedang giat memikirkan kaedah untuk melancarkan DRG ini di peringkat nasional bagi membolehkan hospital universiti, hospital tentera dan swasta turut mengadaptasi penggunaan DRG ini dalam menentukan kos (rawatan pesakit) supaya tidak berlebihan.

"Ini juga membolehkan golongan M40 dan B40 mendapatkan rawatan jelas di sektor swasta dan bukan datang dengan perasaan gusar akan kena harga berlebihan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai penyelesaian berkesan berhubung isu kenaikan caj premium insurans kesihatan yang tidak munasabah terhadap pengguna. 

Lukanisman memaklumkan KKM juga sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan konsep DRG itu.

Mengenai Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS), beliau berkata ia dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), manakala perkara berkaitan etika dan profesionalisme profesion pengamal perubatan dikawal selia Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Berhubung jumlah aduan terhadap KPJKS, Lukanisman berkata sebanyak 720 aduan telah diterima Bahagian Amalan Perubatan KKM hingga 27 Nov lepas.

"Daripada jumlah tersebut, 263 adalah kes berkenaan aduan terhadap kakitangan dan juga anggaran daripada kes tersebut, hanya lima kes aduan per tahun melibatkan isu pemberian perkhidmatan preskripsi ubatan melebihi keperluan pesakit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan