PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad berkata beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
“Saya berhasrat begitu (tukar semula nama), sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama dan menjadi moderator pada sidang selari tujuh Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk Keterjaminan Makanan yang diselaraskan oleh UPM di sini hari ini.
Untuk rekod, nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.
UPM yang kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.
-- BERNAMA=
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial