AM > BERITA

Muhammad Sanusi Ucap Terima Kasih Kepada PM Anwar Berkaitan Pelaburan Hyundai Motor

28/11/2024 06:02 PM

ALOR SETAR, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyokong Hyundai Motor untuk melabur di Kulim.

“Saya ucap terima kasih kepada sokongan yang diberi oleh PMX (Perdana Menteri) kepada pelaburan Hyundai (Motor).

“Kita sokong Hyundai Motor masuk (melabur). Kita ucap terima kasih kepada kerajaan Persekutuan...mailah ke Kulim, mailah bila pun, mailah siapa pun (datanglah ke Kulim, datanglah bila pun, datanglah sesiapa pun) (pelabur),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Kedah 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pembangkang Kedah berkata pengumuman Hyundai Motor mengenai pelaburan di Kulim membuktikan tiada plot dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di Kedah sekali gus menafikan kenyataan Muhammad Sanusi sebelum ini.

Ia susulan pengumuman oleh Hyundai Motor Company (HMC) untuk pelaburan RM2.16 bilion di Kulim Kedah bagi membuka kilang pengeluaran kereta enjin pembakaran dalam (ICE) dan hibrid.

Pengumuman berkenaan dibuat ketika lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke Korea Selatan, baru-baru ini. 

Pada Isnin lepas, ketika sesi soal jawab lisan di persidangan DUN Kedah Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa terdapat ‘agenda besar’ untuk menggagalkan projek pembangunan yang dirancang di Kedah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan