AM > BERITA

Kolaborasi Sektor Swasta Penting Untuk Capai Karbon Sifar 2050

28/11/2024 08:43 PM

SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Kerjasama sektor swasta adalah penting kepada komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menerusi bekerjasama, sektor swasta boleh memacu peralihan ke arah penyelesaian pengangkutan yang lebih bersih dan cekap tenaga, yang penting untuk mencapai matlamat kelestarian negara.

“Antara kerjasama sedemikian yang ingin saya ketengahkan hari ini ialah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada November 2022 antara Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

“MoU ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam mempercepat penggunaan teknologi mampan dalam sektor kenderaan komersial,” katanya semasa berucap pada pelancaran rangkaian terbaharu 'Volvo Heavy Duty Trucks'.

Beliau berkata sektor pengangkutan, contohnya menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau Malaysia dan ia mewakili kedua-dua cabaran dan peluang.

"Aktiviti ekonomi ialah enjin yang memacu pembangunan negara kita. Bagaimanapun, sambil kita ke maju ke hadapan, kita juga mesti mengakui kesan alam sekitar yang datang dengan pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan langkah komprehensif termasuk Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang diluluskan baru-baru ini, yang diterima pakai pada 25 Sept lepas.

“Dasar ini menyepadukan komitmen global seperti Perjanjian Paris dan mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon,” katanya.

Nik Nazmi berkata kerajaan juga dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara di Parlimen tahun depan.

“Perundangan bersejarah ini, sebaik sahaja digubal, akan memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan berkesan bukan sahaja dasar perubahan iklim baharu, tetapi juga dasar lain seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, antara lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan