AM > BERITA

N.Sembilan Komited Bangunkan Petak Pengecasan EV

28/11/2024 09:04 PM

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk membangunkan petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) di negeri ini, selaras sasaran kerajaan Persekutuan untuk mencapai 10,000 petak pengecasan EV di seluruh negara menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif membentangkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 19 Dis 2023.

Beliau berkata garis panduan itu membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihak mengawal pembangunan khususnya penyediaan Pelan Pembangunan untuk pertimbangan permohonan kebenaran merancang, pelan bangunan atau permit pembinaan bagi petak pengecasan EV di negeri ini.

"Dengan adanya GPP ini ia memudahkan permohonan pembinaan EVCB serta mempercepat proses penyediaan infrastruktur yang selamat dan lengkap di lokasi strategik bagi menyokong pembangunan industri EV di negeri ini.

"Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 (RSNS) turut memberi tumpuan khusus kepada sektor pengangkutan awam dan infrastruktur di negeri ini secara menyeluruh," katanya ketika menjawab soalan Siau Meow Kong (PH-Rahang) pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Kamarul Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) berkenaan tindakan kerajaan negeri dalam melaksanakan penyelengaraan pokok berisiko, Arul berkata kerja-kerja terlibat dilaksanakan secara sekali (one off), berkala dan secara terus. 

Beliau berkata pihaknya turut membuat permohonan peruntukan RM4.7 juta kepada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR)  pada 30 Sept lepas bagi melaksanakan penyenggaraan pokok liar berisiko di Jalan Persekutuan.

"...manakala sejumlah RM10.44 juta telah diperuntukkan pada tahun ini kepada pihak JKR, PBT dan Pejabat Daerah untuk membuat cantasan pokok berbahaya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan