AM > BERITA

Banjir: Penduduk Risau Jalan Utama Mendap, Merekah Selepas Jadi Laluan Alternatif

01/12/2024 08:44 PM

GUA MUSANG, 1 Dis (Bernama) -- Pengguna jalan raya dari Kampung Jerek, di sini, berdepan dengan risiko keselamatan apabila jalan utama sepanjang 110 meter dikesan merekah dan mendap sejak pagi semalam. 

Tinjauan Bernama mendapati rekahan dan mendapan berlaku di dua lokasi di jalan digunakan lebih 1,000 penduduk itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek Wan Zahari Wan Harun, 56, berkata laluan terbabit turut digunakan pengguna jalan raya lain sebagai jalan alternatif selepas berlaku tanah runtuh di KM35, Jalan Gua Musang-Jeli yang ditutup sepenuhnya dua hari lepas.

Wan Zahari berkata selain musim tengkujuh, pertambahan bilangan kenderaan melalui jalan itu dipercayai menjadi faktor kejadian itu. 

“Kita harap kawasan ini tidak mengalami kejadian sama seperti jalan yang runtuh tempoh hari, ia sudah tentu akan melumpuhkan pergerakan penduduk di sekitar Kampung Jerek kerana ini adalah laluan utama.

“Kita juga risau berlaku runtuhan semasa kenderaan melalui jalan ini,” katanya kepada pemberita di kampung berkenaan hari ini.

Peniaga Mohd Ismail Hussin, 50, berkata jalan utama terbabit kini menjadi laluan alternatif pengguna jalan raya menghala ke Bertam Baru dan Kampung Limau Kasturi. 

“Jalan ini laluan utama penduduk untuk menghantar anak ke sekolah dan keluar mencari barangan keperluan serta makanan di bandar," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pula meminta pengguna jalan raya berwaspada ketika menggunakan Jalan D235 dan D241 yang mendap itu. 

Beliau berkata keperluan jalan utama berkenaan untuk dinaik taraf telah diusulkan pada perbahasan Belanjawan 2025 persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan. 

“Perkara utama yang diketengahkan ialah mengenai jalan itu, jadi saya berharap setelah kejadian ini berlaku pihak berkenaan dapat mempercepat penilaian untuk kerja-kerja naik taraf laluan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata rekahan dan mendapan berkenaan dikesan pada 9 pagi semalam oleh anggota polis yang menjalankan rondaan. 

Sik berkata susulan itu laluan terbabit dibuka hanya satu lorong untuk semua kenderaan melalui FT066 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli sebagai laluan alternatif. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan