KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menandatangani perjanjian untuk memperluaskan akses kepada pendidikan dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
UTP dalam kenyataan memaklumkan kerjasama berkenaan akan memanfaatkan Pusat Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Lepas (APEL) USM iaitu individu yang mempunyai pengalaman kerja dan kemahiran berkaitan berpeluang melanjutkan pengajian pascasiswazah secara kursus di UTP, walaupun mereka tidak memenuhi syarat kemasukan akademik tradisional.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTP dan USM iaitu Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.
Mohamed Ibrahim dalam kenyataan sama berkata kerjasama ini selaras dengan komitmen UTP terhadap pendidikan untuk pembangunan lestari dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pendidikan berkualiti.
“Dengan mengiktiraf pembelajaran terdahulu dan menawarkan laluan pembelajaran fleksibel, kami memberi kuasa kepada individu untuk mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang kepada masa depan yang mampan,” katanya.
Mohamed Ibrahim berkata UTP komited untuk menyediakan pendidikan yang boleh diakses dan fleksibel serta telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk platform Mikrokredit UTP, ULearnPlus, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta kursus pendek yang ditawarkan melalui Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional (CAPE).
Sementara itu, Abdul Rahman berkata kerjasama berkenaan akan mewujudkan peluang baharu untuk pembelajaran sepanjang hayat dan kemajuan kerjaya melalui pendekatan pembelajaran inovatif dan mengiktiraf pengalaman yang pelbagai.
“Secara bersama, USM dan UTP menyasarkan untuk memperkasa landskap pendidikan, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial