AM > BERITA

Biar SPRM Selesaikan Siasatan, Jangan Buat Spekulasi - Hannah

03/12/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyelesaikan siasatan terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum membuat sebarang spekulasi.

Hannah berkata siasatan itu adalah prosedur operasi standard dalam mana-mana organisasi apabila seseorang membuat aduan kepada agensi antirasuah, bukan hanya dalam persatuan sukan.

“Badan penyiasat akan masuk setiap kali menerima aduan daripada seseorang, tetapi selagi penyiasatan belum selesai, terlalu awal untuk mengulas mengenainya. Jangan kita membuat spekulasi dan berlaku adil kepada BAM sementara kita menunggu keputusan SPRM.

“BAM ialah satu persatuan sukan yang diuruskan dengan baik, ia telah wujud sejak sekian lama. Saya pasti SPRM akan menemui dokumen-dokumen dan semua di tempat yang betul,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kad debit khas Visa CIMB untuk membantu kanak-kanak palsi serebrum, di sini hari ini.

BAM menerusi satu kenyataan pagi tadi mengesahkan bahawa SPRM hadir ke pejabat mereka minggu lepas untuk meminta maklumat tertentu, dan badan induk badminton negara itu telah memberikan kerjasama penuh kepada pegawai-pegawai untuk menjalankan tugas mereka secara profesional.

Sementara itu, Hannah berkata sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa hari ini, beliau gembira melihat CIMB mengorak langkah ke hadapan, dengan inisiatif yang melangkaui perkhidmatan kewangan untuk mencipta impak sosial yang ketara melalui usaha berkenaan.

Melalui kempen itu, CIMB akan menyumbang RM2 kepada Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasakan kanak-kanak palsi serebrum melalui peralatan pemulihan dan program pemerkasaan, bagi setiap kad debit Visa baharu yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Pengguna dan Perbankan Digital) Kumpulan CIMB Effendy Shahul Hamid berkata kerjasama berkenaan, mencerminkan kepercayaan institusi kewangan itu bahawa perubahan positif bermula di peringkat komuniti.

“Kami berbesar hati untuk memberikan impak yang bermakna dalam kehidupan kanak-kanak menghidap palsi serebrum, menyalurkan sumbangan untuk peralatan pemulihan penting dan program pemerkasaan. Kami biasanya mengeluarkan beberapa ratus ribu kad bergantung kepada pelanggan kami, tetapi tidak mempunyai sasaran tertentu,” katanya.

Presiden Pengasas GAPS Rafidah Rafizah Ahmad pula yakin kempen itu, akan meringankan beban kanak-kanak palsi serebrum dengan membiayai peralatan penting dan program pemerkasaan.

Beliau berkata berdasarkan data GAPS, lebih 81 peratus keluarga dengan individu palsi serebrum berada dalam kumpulan B40, sering menghadapi kesukaran berkaitan kos tinggi pendidikan khas, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta keperluan untuk peralatan pemulihan khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan