AM > BERITA

MPIH Setuju Penubuhan Badan Profesional Halal, Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri

03/12/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) bersetuju dengan cadangan penubuhan Badan Profesional Halal untuk menyelaras pembangunan profesional dalam sektor itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata MPIH yang bermesyuarat hari ini turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal di peringkat negeri.

"Langkah ini akan memperluas penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal selain memastikan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) lebih menyeluruh di peringkat negeri," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Bagi memperkukuh kerjasama dan penglibatan semua pihak, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sesi dialog serta libat urus seperti Hari Terbuka HIMP 2030 akan dianjur pada awal 2025. 

Beliau berkata program itu bertujuan menyelesaikan isu utama, membuka peluang baharu dan memacu pertumbuhan industri halal di peringkat domestik serta antarabangsa.

Ahmad Zahid berkata setakat suku ketiga tahun ini, HIMP 2030 telah mencapai 75 peratus daripada sasarannya dengan nilai eksport halal mencecah RM45 bilion dan pelaburan di Taman Industri Halal bernilai RM16.7 bilion. 

"Namun usaha terus dipergiat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan ekosistem halal negara terus maju dan menyumbang 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030. 

Ahmad Zahid berkata dengan sinergi antara sektor awam dan swasta, penyelarasan strategik dan pembukaan pasaran baharu, beliau yakin Malaysia akan kekal sebagai peneraju global dalam industri halal. 

"Inilah usaha kita untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan mengangkat jenama halal Malaysia di persada dunia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan