AM > BERITA

Arang Kayu Bakau, Durian Batu Kurau Antara Produk Terkenal Perak Berpotensi Didaftar Sebagai Harta Intelek

04/12/2024 02:24 PM

IPOH, 4 Dis (Bernama) - - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya lima produk terkenal di Perak berpotensi didaftarkan sebagai harta intelek warisan yang dilindungi di bawah Petunjuk Geografi (GI).

Pengerusi MyIPO Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata antara produk berkenaan termasuk jagung susu, arang kayu bakau Kuala Sepetang, bawang Perak, durian Batu Kurau, ikan patin Sungai Perak dan udang galah Teluk Intan.

“Kita bimbang jika produk-produk yang telah terkenal dan sebati dengan negeri Perak ini tidak dilindungi di bawah GI maka nanti ia akan hilang hak ke atas nama-nama tersebut.

“Bagi kita, signifikan produk-produk ini didaftarkan di bawah GI adalah sebagai daya tarikan sekali gus membantu peningkatan hasil ekonomi kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Satelit MyIPO di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.

Mohd Zuhan turut berharap agar pihak berwajib akan membuat pendaftaran harta intelek terhadap kelima-lima produk berkenaan yang disifatkannya sebagai mempunyai keunikan serta kualiti tersendiri.

Sementara itu, beliau berkata pembukaan pejabat satelit MyIPO pertama di Perak itu bertujuan memudahkan golongan termasuk usahawan, pereka, inovator dan profesional untuk melindungi hasil ciptaan serta penjenamaan produk mereka.

Beliau berkata sebelum ini pemilik harta intelek di Perak terpaksa ke pejabat cawangan MyIPO di   Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang turut menerima pelanggan dalam kalangan pemilik di Kedah dan Perlis.

“Pembukaan pejabat ini juga akan terus menggalakkan lebih ramai individu dan perniagaan untuk melindungi inovasi dan hasil karya mereka sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Selain itu, katanya MyIPO telah menerima sebanyak 53,456 permohonan harta intelek sepanjang Januari hingga Oktober lepas berbanding 50,570 permohonan dalam tempoh sama pada 2023.

Katanya daripada jumlah tersebut sebanyak 34,479 permohonan daripada rakyat asing manakala 18,977 daripada warga tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan