AM > BERITA

JKM Tempatkan 152 Pegawai Psikologi Di Kawasan Banjir

04/12/2024 03:17 PM

MELAKA, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempat 152 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir bagi membantu memulihkan emosi dan mental mangsa terlibat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata banjir yang berlaku pasti memberi kesan kepada mental dan emosi mangsa.

“Dari segi pegawai, kita ada 152 orang terlibat dalam psikososial selain 1,047 sukarelawan yang menyokong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara-TNB Hospital Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan turut menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi serta mental akibat Monsun Timur Laut tahun ini.

“MHPSS menjadi barisan hadapan kita (Kementerian Kesihatan) dalam memberi bantuan psikologi melalui sesi psychological first aid (PFA),” katanya.

Selain itu katanya, kementerian juga memberikan pendidikan psikologi kepada mangsa banjir.

“Di samping itu, kita juga menjalankan sesi relaksasi dan sebagainya,” katanya.

Setakat 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi susulan situasi yang beransur pulih di tiga negeri iaitu Terengganu, Perak dan Kedah, manakala angka kematian akibat bencana itu kekal tujuh orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan