AM > BERITA

Tokoh Kraf Negara Meninggal Dunia

19/12/2024 11:33 AM

JERTIH, 19 Dis (Bernama) -- Tokoh Kraf Negara Norhaiza Noordin meninggal dunia pada usia 61 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu, Kelantan pagi ini akibat masalah jantung.

Menurut anak sulung Allahyarham,  Mohammad Othman, 23, bapanya mengadu sukar bernafas dan ahli keluarga menghantarnya ke HRPZ II tengah hari semalam, untuk mendapatkan rawatan.

“Ayah disahkan meninggal dunia pada 6.13 pagi tadi di sisi ibu (isteri Norhaiza, Che Rohayati Abdullah, 49),” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Othman berkata jenazah Norhaiza akan dikebumikan selepas solat asar hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja di sini.

Norhaiza meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Mohammad Othman dan Rabiatul Adawiah, 21.

Norhaiza menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara pada 2022 dan telah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Adiguru Kraf Ukiran Halus itu juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Malaysia.

Anak jati Besut itu merupakan penggiat seni ukiran kayu yang terkenal dengan identitinya tersendiri serta hasil ukirannya banyak menghiasi ruang di istana, rumah orang kenamaan, rumah agam, pejabat, bangunan kerajaan di Malaysia dan di luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan