AM > BERITA

Syarikat Bas Ekspres Wajib Sedia Pemandu Kedua, Patuhi Undang-undang - Hasbi

20/12/2024 11:25 PM

KUCHING, 20 Dis (Bernama) -- Syarikat bas ekspres diingatkan untuk menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh, khususnya sepanjang musim perayaan ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau turut mengingatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memasang ‘mata-mata’ bagi memastikan pemandu bas berwaspada setiap masa dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“Jadi, jangan mereka ambil ringan dalam isu ini, kita ada ‘spy’ untuk pastikan pemandu tak main telefon bimbit dan melakukan kesalahan yang lain sewaktu mengendalikan bas. 

“Sekiranya didapati mereka melanggar peraturan, bas akan diberhentikan dan sudah pastinya diambil tindakan … Bukan hanya kepada bas dan juga syarikat juga mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Hasbi berkata demikian kepada pemberita selepas program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Krismas 2024 peringkat negeri di Kuching Sentral malam ini.

Dalam pada itu, kempen advokasi yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan keselamatan di jalan raya melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi terminal bas di Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

Sarawak mencatatkan peningkatan 466 kes kemalangan atau 2.4 peratus iaitu 19,964 kes hingga November berbanding 19,498 kes pada tahun lepas.

Bagi tempoh sama, negeri ini merekodkan 326 kes kemalangan maut berbanding 336 pada 2023, menjadikan penurunan sebanyak 10 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan