KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi usaha dilakukan timbalan menterinya Datuk Seri R Ramanan telah melaksanakan tujuh inisiatif sepanjang tahun ini dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat India di negara ini.
KUSKOP menerusi e-poster yang dikongsikan menerusi media sosialnya memaklumkan antara inisiatif telah dilaksanakan termasuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big di bawah agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), melibatkan peruntukan keseluruhan RM60 juta.
Menerusi kedua-dua program berkenaan, sebanyak 2,355 usahawan India telah menerima bantuan dengan peruntukan telah disalurkan setakat 19 Dis lepas berjumlah RM57,468.
Selain itu, hingga 13 Dis lepas, sebanyak 3,285 usahawan wanita India telah menerima pembiayaan berjumlah RM30.34 juta menerusi program Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Dalam usaha membantu usahawan dalam kalangan masyarakat India, Bank Rakyat turut menawarkan program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) berjumlah RM50,000 dengan 451 usahawan India telah dibantu hingga 19 Dis lepas, melibatkan pembiayaan sebanyak RM40.39 juta.
Pada 27 Sept lepas, KUSKOP menerusi agensi SME Corp pula telah melancarkan Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta dan hingga 25 Nov lepas, sebanyak 20 syarikat telah menerima bantuan itu melibatkan kelulusan RM1.5 juta.
Menurut kementerian berkenaan, sebanyak 61 syarikat lagi masih dalam penilaian SME Corp.
Pada masa sama, KUSKOP juga telah bekerjasama dengan agensi seperti Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) , SME Corp dan INSKEN dalam melaksanakan program Empowering Indian Entreprenuer (EIP 2024) pada 28 Sept lepas, bagi memperkasakan usahawan komuniti India dengan meningkatkan kemahiran melalui kursus keusahawan, kecerdasan buatan (AI), kewangan dan media sosial.
Selain itu, Ramanan turut melaksanakan program Vanakam MADANI yang merupakan satu program sembang santai bersama penduduk Kuala Kubu Bharu, Sungai Bakap dan usahawan kaum India selain pemberian bantuan bakul makanan kepada keluarga B40 komuniti India sejak April hingga September lepas.
Dalam usaha meningkatkan pengetahuan koperator komuniti India berkaitan Dasar Koperasi Malaysia 2023, KUSKOP menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut mengadakan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) pada 13 Okt yang disertai oleh 200 buah koperasi.
Keprihatinan kerajaan MADANI terhadap komuniti India dapat dilihat apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara telah menghantar 200 pelajar kaum India mengikuti kursus TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) ke China secara percuma.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bantuan kemiskinan akan disalurkan tanpa mengira kaum dan segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan serta usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak mengenai peruntukan tambahan RM130 juta untuk masyarakat India tidak mencukupi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial