KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) telah mengambil langkah penting ke hadapan dalam menanda aras kecemerlangan dari segi perhubungan awam (PR) dengan pentauliahan 11 pengamal sebagai profesional Perhubungan Awam yang berakreditasi (APR).
Naib Presiden IPRM Doris Lim berkata proses akreditasi ini adalah bukti komitmen institut itu terhadap profesionalisme dan integriti dalam industri.
“Kami berharap dapat menyebarkan kesedaran tentang proses akreditasi ini yang boleh memberi pengiktirafan sewajarnya dan menghargai pencapaian luar biasa profesional PR di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menetapkan penanda aras bagi amalan kualiti dan etika, memastikan ahli kami diiktiraf atas kepakaran dan sumbangan mereka kepada bidang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Para profesional APR yang baru menerima anugerah telah dipilih berdasarkan pendidikan luar biasa mereka, pengalaman yang luas, dan sumbangan pengetahuan yang tidak ternilai kepada badan PR global.
Antara penerimanya ialah Pengurus Komunikasi Korporat dan Isu Tanah Cawangan Lebuhraya Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya Sarawak Sahrein Maloh.
“Mendapatkan APR adalah penting bagi pengamal PR kerana ia mengesahkan kepakaran mereka, mengukuhkan kredibiliti profesional mereka dan mempamerkan komitmen terhadap amalan komunikasi yang beretika dan strategik,” katanya.
Seorang lagi penerima, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Sri Pelancongan Sabah Cassie Forsythe berkongsi pendapatnya mengenai akreditasi berkenaan.
“Memperolehi akreditasi IPRM telah memperdalam rasa tanggungjawab dan komitmen saya untuk menegakkan amalan terbaik PR. Dalam dunia yang boleh mengakses kandungan dengan mudah hari ini, menyampaikan mesej yang betul tetap penting.
"Walaupun perhubungan awam sering dilihat sebagai penciptaan kandungan yang pantas untuk menjangkau khalayak yang luas, adalah penting bagi komuniti untuk menyedari bahawa menghasilkan mesej yang betul memerlukan kemahiran dan pengalaman," katanya.
Ketua Komunikasi Malaysia Healthcare Travel Council Mohamad Shahizam Fauzi berkata proses akreditasi telah membantu beliau meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya.
Proses akreditasi APR melibatkan penilaian yang ketat, termasuk kajian kes, penerbitan penyelidikan, temu bual dan dokumentasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial