AM > BERITA

Permintaan Sayuran Di Negeri Sembilan Menurun, Harga Masih Berpatutan

23/12/2024 04:45 PM

SEREMBAN, 23 Dis (Bernama) -- Permintaan sayur di Negeri Sembilan menunjukkan penurunan meskipun harga ditawarkan di pasaran masih berpatutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Beliau berkata meskipun terdapat laporan berkenaan kenaikan harga sayuran di beberapa negeri lain berikutan ketidaktentuan cuaca ketika ini, namun harga sayuran di negeri ini masih terkawal.

"Saya lihat pengguna lebih berjimat kali ini untuk beli sayuran, harga masih berpatutan tetapi permintaan itu kurang, setakat ini tiada aduan diterima tentang kenaikan harga sayur di sini," katanya kepada pemberita selepas tinjauan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Pasaraya AEON Seremban 2 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan menjangka harga sayur kembali turun dan stabil pada Mac ini apabila tamatnya Monsun Timur Laut (MTL).

Laporan itu menyatakan harga sayur meningkat ketika ini disebabkan keadaan cuaca tidak menentu.

Pada program hari ini, terdapat sembilan jenis barangan dikawal di bawah SHMMP iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, ubi kentang import (China), lobak merah, kubis bulat (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar import dan bawang kuning besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan