KOTA BHARU, 24 Dis (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor harimau kumbang di Kampung Gua, Paloh 1, Gua Musang semalam.
Pengarah berkenaan Mohamad Hafid Rohani berkata haiwan liar itu telah memasuki perangkap yang dipasang Ahad lepas.
"Tangkapan pada pukul 12 tengah hari itu melibatkan seramai enam anggota Perhilitan Daerah Kuala Krai serta kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar Gua Musang dan telah menjalankan operasi pemindahan harimau kumbang ke habitat yang lebih sesuai dan selamat.
"Tangkapan harimau kumbang ini meredakan keresahan penduduk kampung terhadap keselamatan mereka. Harimau kumbang ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Relai yang terletak berhampiran kampung itu untuk mencari makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hafid berkata khidmat nasihat dan langkah mitigasi telah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun selain sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling luar rumah serta tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam.
"Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian utama Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial