AM > BERITA

MPPM memacu pertumbuhan pakar industri keusahawanan dan inovasi

24/12/2024 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis ( Bernama) — Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM), sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) memberi galakan untuk perkembangan tokoh dalam industri keusahawanan dan inovasi melalui pemberian anugerah bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada negara.

Dalam satu kenyataan, Presiden Kebangsaan MPPM, Prof. Madya Dr. Zam@Ab Razak Zamri berkata pengiktirafan diberikan kepada mereka yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui bidang keusahawanan dan inovasi.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai usaha dan dedikasi mereka tetapi juga memberi motivasi kepada masyarakat usahawan lain untuk terus berinovasi dan mencipta impak positif dalam ekonomi negara,” katanya.

Katanya setiap penerima Anugerah Pengiktirafan Pakar Industri MPPM telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Jawatankuasa Penilaian MPPM yang terdiri daripada golongan akademik dan industri.

Beliau berkata penerima anugerah ini mesti mempunyai pengalaman lebih daripada lima tahun dalam industri masing-masing, menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi impak yang signifikan dalam sektor mereka.

Beliau berkata pada Majlis Penganugerahan itu yang diadakan di ibu negara semalam, menyaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan menerima Anugerah Felo Kehormat MPPM.  

Pada majlis itu juga menyaksikan beberapa tokoh lain menerima pelbagai anugerah atas sumbangan mereka dalam bidang keusahawanan dan inovasi perniagaan.

Ahmad Maslan merupakan penerima anugerah, yang julung-julung kalinya dianjurkan MPPM di peringkat kebangsaan, di atas jasa beliau kepada pembangunan sosio-ekonomi, politik, pembangunan perniagaan dan keusahawanan, kemasyarakatan serta prinsip mesra rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, Ahmad berkata berkata pentingnya prinsip Malaysia MADANI yang berfokuskan kepada keusahawanan beretika, inklusif dan inovatif dalam membangunkan negara.

Justeru Beliau mengajak semua penerima anugerah untuk terus menjadi inspirasi kepada generasi usahawan muda dan menunjukkan bahawa dengan dedikasi dan semangat yang tidak pernah luntur, setiap cabaran dapat dijadikan peluang.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan