KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Menteri dan timbalan menteri hari ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada semua penganut Kristian yang akan meraikannya esok.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, menjadi kebiasaan untuk semua mengambil kesempatan bersama-sama menyambut dan mengeratkan silaturahim antara rakyat Malaysia MADANI.
"Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara.
"Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya ingatkan untuk sentiasa waspada dan berhati-hati di jalan raya. Selamat menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian dan berharap sambutan kali ini adalah yang bermakna buat mereka.
Ucapan beliau disampaikan menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan menyeru seluruh rakyat mengukuhkan semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum sepanjang masa.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata ia bagi menjayakan segala visi dan misi yang direncanakan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet.
"Sempena perayaan Krismas, marilah kita bersama dan bersatu mendukung dan menghormati penganut semua agama. Ini masanya untuk menyerlahkan nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan agama lain, saling menghormati, sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu mereka kurang bernasib baik," katanya.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut menyumbangkan bantuan kewangan daripada gaji dan elaunnya yang diperuntukkan kepada gereja-gereja di Parlimen itu, selain Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dan Yayasan Bank Rakyat menyalurkan bantuan bakul makanan kepada keluarga B40 beragama Kristian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua dan berharap sambutan kali ini memberikan kegembiraan kepada semua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial