AM > BERITA

Malaysia Catat 5.74 Juta Siswazah Pada 2023 - Jabatan Perangkaan

24/12/2024 06:12 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan 5.74 juta siswazah, meningkat 4.2 peratus dengan lebih dua pertiga bekerja dalam kategori Mahir pada 2023, menurut Statistik Siswazah 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang 2023 telah menyumbang kepada peningkatan bilangan siswazah merangkumi 5.74 juta orang atau 22.3 peratus daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas.

“Daripada jumlah ini, 4.92 juta orang merupakan siswazah aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi pada 85.7 peratus.

“Pemegang Ijazah mewakili 54.4 peratus (3.12 juta orang) manakala pemegang diploma menyumbang 45.6 peratus (2.62 juta orang). Bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4 peratus manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.5 peratus didorong oleh peluang pekerjaan lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siswazah dalam laporan berkenaan ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

Mohd Uzir berkata pada 2023, siswazah bekerja meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta pada 2022 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik.

Kira-kira dua pertiga atau 67.6 peratus siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan Mahir iaitu sebanyak 3.21 juta orang dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai Profesional (57.4 peratus), diikuti Juruteknik dan Profesional Bersekutu (24.2 peratus) dan Pengurus (18.5 peratus). 

“Siswazah bekerja dalam kategori Separuh mahir pula menyumbang 31.3 peratus atau 1.49 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja manakala mereka yang bekerja dalam kategori Berkemahiran rendah hanya mewakili 1.1 peratus (51,800 orang),” katanya.

Beliau berkata dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor Perkhidmatan yang menyumbang 77.5 peratus daripada jumlah siswazah bekerja merekodkan sebanyak 3.69 juta orang.

Ia diikuti sektor Pembuatan (13.4 peratus) dengan 637,900 orang dan sektor Pembinaan (6.3 peratus) dengan 301,100 orang, manakala selebihnya sektor Pertanian (1.7 peratus) dan sektor Perlombongan dan Pengkuarian (1.0 peratus) masing-masing mencatatkan 83,000 dan 46,800 orang.

Mengulas berkaitan gaji dan upah yang diterima oleh siswazah, Mohd Uzir berkata gaji dan upah lebih tinggi direkodkan untuk siswazah pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, dengan penengah gaji dan upah bulanan dalam pekerjaan utama sepenuhnya masa mereka meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM4,409 (2022: RM5,465).

“Ketiga-tiga tahap kemahiran pekerjaan menunjukkan peningkatan penengah gaji dan upah positif dengan siswazah dalam kategori pekerjaan Mahir meningkat 3.6 peratus mencecah RM5,663 (2022: RM5,467).

“Manakala penengah gaji dan upah bagi kategori Separuh Mahir meningkat 4.3 peratus kepada RM2,375 (2022: RM2,276). Kategori berkemahiran rendah mencatat peningkatan 1.9 peratus untuk merekodkan RM1,915 (2022: RM1,880),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan