AM > BERITA

PETRA, ST Tambah Baik Garis Panduan Pelaksanaan Program SelCo

24/12/2024 06:00 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan membuat penambahbaikan terhadap garis panduan bagi pelaksanaan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) yang telah diperkenalkan sejak 2017.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan itu, yang antaranya membenarkan pemasangan sistem solar diperluas kepada pengguna elektrik kategori pertanian, akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini.

"Seiring dengan dasar semasa dan komitmen kerajaan untuk merancakkan usaha peralihan tenaga dan terdapatnya permintaan supaya dibenarkan pemasangan sistem solar di atas tanah dan juga di badan air secara terapung, PETRA bersetuju untuk membenarkan pelaksanaan konfigurasi pemasangan selain di bumbung premis bangunan.

"PETRA yakin penambahbaikan terhadap garis panduan program SelCo ini akan membuka akses bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna elektrik khususnya pihak korporat dan industri untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050," menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, Garis Panduan Mengenai Penyambungan Pepasangan Solar Fotovoltaik Untuk Kegunaan Sendiri sedia ada yang dikeluarkan oleh ST sebelum ini, membolehkan pengguna elektrik memasang sistem solar PV untuk kegunaan sendiri di bumbung premis bangunan sahaja dengan kapasiti pemasangan hingga 85 peratus daripada permintaan maksimum.

Selain itu, pemasangan sistem solar juga hanya dibenarkan pada bumbung premis bangunan selaras dengan tujuan asal program supaya ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan bekalan elektrik tanpa menebus guna kawasan tanah baharu.

Mengambil kira keperluan bekalan elektrik hijau oleh pihak korporat dan industri dalam memenuhi komitmen ESG, PETRA memaklumkan penambahbaikan pelaksanaan Program SelCo merangkumi perkara antaranya pemasangan sistem solar diperluaskan untuk konfigurasi pemasangan solar atas tanah dan juga pemasangan solar di badan air secara terapung di dalam kawasan premis pengguna.

Di bawah penambahbaikan itu, had kapasiti pemasangan 85 peratus permintaan maksimum sedia ada yang ditetapkan bagi pengguna kategori bukan domestik dimansuhkan bagi menyokong usaha syarikat korporat dan industri melaksanakan pengurangan jejak karbon serta memenuhi komitmen ESG.

Menurut PETRA, garis panduan yang ditambah baik itu juga menetapkan syarat pemasangan sistem penstoran tenaga akan ditetapkan bagi memastikan kestabilan sistem pembekalan elektrik secara keseluruhan; dan pendaftaran bagi penyertaan program itu akan dilakukan secara berpusat di ST.

Perincian dan garis panduan mengenai Program SelCo yang telah ditambah baik boleh dimuat turun daripada laman web ST di www.st.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan