AM > BERITA

Perbezaan Adat, Budaya Tambah Kemeriahan Sambutan Krismas Pasangan Kahwin Campur

25/12/2024 08:26 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 25 Dis (Bernama) -- Adat dan latar belakang budaya berbeza antara suami yang berketurunan India dan isteri, wanita Bidayuh dari Serian, Sarawak menjadikan sambutan Hari Natal keluarga seorang ejen hartanah di sini cukup unik dan harmoni.

Steven Sam, 43, berkata dalam hal ini yang paling bertuah adalah anak-anaknya kerana berpeluang meraikan Krismas dalam suasana yang lebih istimewa berikutan perbezaan bahasa, makanan serta adat dan budaya antara beliau dan keluarga sebelah isterinya, Martha Loria.

Bapa kepada tiga anak itu berkata lazimnya mereka pulang ke Serian menyambut Krismas, namun tahun ini beliau dan isteri meraikannya di sini dengan membawa ibu mentuanya ke Johor bagi bersama-sama meraikan perayaan ini.

“Sambutan di Sarawak agak berbeza dari segi pergaulan, masakan dan bahasa. Sejujurnya, sambutan di sana lebih meriah dan sangat harmoni dengan masyarakat pelbagai kaum bersama-sama melakukan persiapan Krismas seperti memasak di rumah panjang.

“Namun di sini biasanya kita melakukannya di rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Pulai Indah di sini hari ini.

Steven berkata beliau bagaimanapun cukup teruja menjadi ‘tuan rumah’ sambutan Krismas tahun ini dengan pelbagai aktiviti telah dilakukan bagi mengerat hubungan terutama dengan ahli keluarga sebelah isterinya.

“Macam semalam, kami hadir ke majlis rumah terbuka saudara-mara yang ada di sini dan malam ini pula kami anjur jamuan barbeku, memang penuhlah rumah saya nanti,” katanya.

Steven berkata persediaan telah dibuat bagi meraikan ibu mentua serta ahli keluarga yang lain dan beliau juga telah merancang pelbagai aktiviti seperti membawa mereka melawat ke tempat menarik di negeri ini. 

“Hari ini kami menyediakan makanan tradisi Sarawak dan bertukar-tukar hadiah selain ke gereja. Saya juga merancang membawa mereka menziarahi saudara-mara di sini dan lusa (Jumaat) kami akan bercuti di Melaka atau Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Martha berkata dianggarkan lebih 20 ahli keluarganya termasuk ibunya dari Sarawak terbang merentasi Laut China Selatan untuk meraikan Hari Natal di sini.

“Keluarga saya telah berada di sini sejak Rabu lagi… sebab utama merayakan Krismas di sini kerana saya sebagai anak sulung daripada tujuh beradik teringin juga sesekali hendak beraya di rumah sendiri.

“Dari segi persediaan pula, kami buat dekorasi pokok Krismas... buat ini pun dalam masa kira-kira tiga hari. Kami juga ada buat kuih dan kek manakala makanan tradisi Sarawak, itik masak talu memang tidak dilupakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan