Oleh Shuhaida Mohd Said
ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Pemilihan Langkawi sebagai satu daripada lokasi Mesyuarat ASEAN tahun depan, akan memberikan peluang kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk terlibat secara langsung dalam penganjuran acara berprestij yang bertaraf antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid berkata sebagai entiti penting dalam pembangunan pulau lagenda itu, LADA turut bertanggungjawab dalam memastikan agar perjalanan acara berlangsung dengan lancar.
"LADA merupakan agensi penyelaras keseluruhan pihak Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) 2025 bersama pelbagai Kementerian, bagi memastikan penganjuran Mesyuarat ASEAN 2025 di Langkawi dapat berjalan dengan lancar.
"Selain itu, LADA juga bertindak sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi aspek pengindahan dan keceriaan Langkawi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata LADA juga bekerjasama dengan pihak kementerian terlibat untuk menguruskan tempahan bekalan dan perkhidmatan seperti penyediaan cenderamata dan aktiviti pelancongan daripada pembekal, usahawan, pemain industri dan komuniti Langkawi khusus untuk keperluan mesyuarat tersebut.
Bermula 1 Jan ini negara diberi tanggungjawab sekali lagi menjadi tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, yang akan dimulakan dengan Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama pada 18 hingga 19 Jan di Langkawi.
Ia diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Haslina berkata LADA bagaimanapun tidak terlibat secara langsung dalam penyediaan input mengenai status pembangunan Langkawi, kerana ia melalui kementerian yang menganjurkan mesyuarat atau program berkenaan.
"Dalam membantu peningkatan ekonomi tempatan pula, LADA turut membantu menyediakan platform untuk beberapa usahawan bagi sesi pameran dan jualan produk kraf tangan serta produk usahawan tempatan," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan koordinasi dan kelancaran program, mesyuarat dengan kesemua agensi kerajaan Persekutuan, negeri, PBT, swasta, badan bukan kerajaan serta komuniti diadakan secara berkala.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial