AM > BERITA

Rakyat Malaysia Berkongsi Tanggungjawab Pastikan Keharmonian Dan Perpaduan Negara

31/12/2024 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik mempunyai tanggungjawab mendesak untuk memastikan keharmonian kaum dan agama di negara ini, serta menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keamanan dan perpaduan antara komuniti berbeza.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berharap rakyat Malaysia dapat melangkah ke tahun baharu dengan azam dan keyakinan, menghayati semangat kerjasama, persefahaman dan kepelbagaian yang menjadi ciri negara ini.

"Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia dengan semangat patriotik termasuk pemimpin politik bangkit dan memperjuangkan matlamat negara Malaysia yang bersatu berlandaskan lima prinsip Rukun Negara.

"Ini bukan masa untuk sesiapa membuat kenyataan bersifat provokatif dan boleh mencetuskan konflik dan ketegangan yang membawa kesan serius terhadap keamanan, keharmonian dan perpaduan nasional," katanya pada perutusan tahun baharu kepada Bernama hari ini.

Sebagai ahli politik bertanggungjawab dan matang, Lee berkata sudah menjadi tugas mereka untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi atau keganasan yang boleh mengundang kekacauan.

Beliau berkata apa yang diperlukan Malaysia hari ini bukanlah wira perkauman, tetapi pembina jambatan antara kaum yang ikhlas dan duta keamanan yang dapat memupuk keharmonian, saling menghormati dan keamanan.

"Masanya telah tiba untuk rakyat Malaysia mengenal pasti lebih ramai pembina jambatan antara kaum dan menekankan peranan penting mereka dalam merapatkan jurang demi memperbaik hubungan etnik di negara kita," katanya.

Lee berkata kehidupan dan komuniti berbilang kaum ialah sebahagian daripada sejarah dan warisan Malaysia dan ia menjadi sumber penting dalam integrasi kaum selama ini, menyumbang kepada keharmonian negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat untuk didiami, belajar, bekerja dan bermain.

"Bersama-sama, kita perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan semua orang berkembang maju, dengan peluang mudah diakses oleh semua dan anak-anak kita boleh menantikan masa depan yang lebih cerah," katanya.

Lee turut menggalakkan semua rakyat Malaysia agar mengejar impian mereka dengan semangat dan tekad sambil menyebarkan kegembiraan dan kebaikan dalam interaksi harian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan